KINI AKU MENGGANGGUR LAGI…
Langit yang cerah kelihatannya mula menebarkan awan-awan mendung. Angin yang bertiup seolah-seolah membawa perkhabaran hujan yang lebat akan melanda. Humaira mempercepatkan langkah kakinya menuju ke perhentian bas yang berdekatan. Fail berisi sijil-sijil dan dokumen yang penting segera dimasukkan ke dalam beg bimbitnya. Matanya melilau mencari bas atau teksi yang berdekatan dengannya. Hatinya diruntun rasa sedih, kecewa, marah. Fikirannya ligat memikirkan langkahnya yang seterusnya pada hari esok.
Realitinya, sudah masuk 6 bulan Humaira mencari kerja, berbekalkan ijazahnya dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Maju Jaya. Humaira sedar pasaran pekerjaan bagi bidang kejuruteraan untuk wanita sangat terhad. Justeru itu, pekerjaan yang dipohonnya meliputi semua bidang yang dirasakannya layak. Kadang kala terdetik di hati Humaira alangkah indahnya sekiranya masa dapat dikembalikan ke masa dahulu, ketika dirinya di matrikulasi, mengisi borang kemasukan universiti. Pasti bidang kejuruteraan ini tidak akan menjadi pilihannya, walaupun keputusan matrikulasinya sangat cemerlang.
“Huh…” hati kecil Humaira mengeluh, dia sedar kembali ke alam realiti setelah lamunannya itu dikejutkan oleh bunyi titisan hujan yang kian turun dengan lebatnya diiringi kilat yang mencalar langit, “Tak guna nak fikir da, kau tu bukannya Nobita yang ada doraemon yang boleh ke masa dulu, ubah segalanya,” Humaira menggelengkan kepalanya memikirkan coretan hati kecilnya itu.
“Kringggg…,” telefon rumah Humaira bordering minta diangkat.
“Good morning Humaira! How’s your interview?” kedengaran suara ceria sahabat karibnya, Maslinda.
“Guess what? Unsuccessful, again… seperti yang dijangka,” keluh Humaira
“Itulah cabaran hidup namanya, bukan rezeki kau lagi,” pujuk Maslinda
Maslinda, sememangnya seorang gadis yang ceria dan pandai memujuk dirinya di kala dirinya diselubungi rasa sedih dan hilang keyakinan diri. Hilang keyakinan diri lebih-lebih lagi apabila bentuk fizikalnya yang agak rendah dan rupa parasnya yang sering dikatakan serupa dengan Dayang Senandung dipersendakan. Walau bagaimanapun Humaira tahu dia harus bersyukur dengan ketentuan Allah kepada dirinya. Dia juga tahu sekiranya dia putus asa dalam usahanya mencari pekerjaan, rezeki tidak akan datang kepadanya, Hatinya menanam azam untuk terus mencari pekerjaan tidak kira apa yang perlu dilaluinya. Itulah kekuatan dirinya dalam menempuh dugaan hidup yang penuh mencabar.
“Assalamualaikum, mama…” Humaira memulakan perbualan dengan ibunya yang sibuk menyediakan juadah untuk makan malam nanti.
“Waalaikumussalam, hah..Ira, macam mana dengan temuduga Ira? Kedengaran dengan lantang suara Ibu Humaira memecah kesunyian di dapur.
“Macam biasalah mama, rezeki tak ada…” balas Humaira, perlahan.
Ibu Humaira langsung senyap dan meneruskan pekerjaannya. Dia tahu Humaira tidak suka ditanya dengan bermacam-macam soalan sekiranya balik daripada temuduga yang tidak berhasil.
Humaira membaringkan dirinya di atas katil empuknya itu. Terasa ringan sikit bebanan yang sebentar tadi setia bertenggek dibahunya. Dirinya berasa sedih kerana sekali lagi memusnahkan harapan ibunya untuk melihat dirinya mendapatkan pekerjaan. Sepatutnya dialah yang memberi wang perbelanjaan buat ibunya, tetapi sekarang semuanya berlaku sebaliknya. Setiap kali menghadiri temuduga, duit tambang, makan dan minum semuanya ditanggung ibunya. Rasa bersalah menari-nari masuk ke dalam ruang hatinya.
Malam itu, sayup-sayup kedengaran bunyi-bunyian unggas di rimba. Kawasan perumahan yang diduduki oleh Humaira sememangnya berdekatan dengan kawasan hutan yang belum dibangunkan lagi. Hatinya tenang dengan persekitaran yang sedemikian. Tenang daripada segala persoalan yang berlegar-legar di benak fikirannya sepanjang hari. Dengan rasa malas yang menyelimuti dirinya, Humaira membuka komputer riba model Toshiba dan mula menaip sesuatu. Sejak akhir-akhir ini, Humaira berasa berat hati untuk membuka laman Facebooknya, ada sahaja perkhabaran daripada kawan-kawannya yang baru dan telah mendapat pekerjaan. Status mendapat pekerjaan seolah-olah menjadi kebanggaan bagi semua orang. Dunianya terasa sangat terasing. Tiba-tiba mata Humaira tertumpu kepada status Faisal, seorang sahabatnya semasa menuntut di UMJ.
“Kepada rakan-rakan UMJ saya yang mempunyai kelayakan dalam Kejuruteraan Kimia yang belum mempunyai pekerjaan atau dengan kata lain mengganggur, ada kekosongan di Syarikat A.E.C sebagai pembantu jurutera. Peluang terbuka pada lelaki dan perempuan. Sila hantar emel anda kepada saya atau sms saja ke nombor telefon bimbit saya..”
Hati Humaira mula melakarkan bunga-bunga yang indah. Sejurus selesai membaca status sahabatnya itu, tanpa membuang masa, Humaira terus mendapatkan telefon bimbitnya. Tidak lama kemudian, Humaira menjerit kesukaan. “Alhamdulillah, akhirnya” Humaira melafazkan kata kesyukuran.
“Silakan…,” Faisal mempelawa Humaira masuk ke bilik mesyuarat syarikat A.E.C. Jawatannya sebagai Ketua Pemasaran di syarikat itu membolehkan dirinya membantu Humaira dalam mendapatkan pekerjaan tersebut.
Mata Humaira mula melihat dan mentafsirkan keadaan sekeliling kawasan pejabat syarikat itu, pekerjanya tidak ramai dan kebanyakannya dimonopoli oleh kaum cina. Terasa janggal bagi dirinya yang menjadi satu-satunya orang yang bertudung litup di situ.
“Ini meja awak, apa-apa hal, awak boleh tanya Dewi atau Tracy di meja sana. Selamat bekerja,” begitu tenang sekali Faisal menuturkan kata-katanya. Humaira membalasnya dengan senyuman. Dia berasa sangat terhutang budi dengan ihsan yang dilakukan oleh Faisal kepada dirinya. Pernah juga terdetik di fikirannya mengenai betapa mudahnya dirinya diterima bekerja di syarikat tersebut, namun dirinya yakin ini adalah rezeki buatnya yang sekian lama mengganggur. Persoalan itu ditolak tepi dan Humaira berazam untuk membuktikan dirinya sememangnya layak bekerja di situ.
Semenjak hari pertama Humaira bekerja di Syarikat A.E.C, tiga bulan dirasakan berlalu dengan cepat. Humaira gigih menguruskan kertas-kertas kerja syarikat yang belum dikemaskini. Itulah pekerjaan yang dilakukannya sejak hari pertama dirinya bertapak di syarikat itu. Humaira merasakan dirinya sebagai setiausaha, bukannya pembantu jurutera seperti yang dikhabarkan oleh Faisal. Namun, Humaira tetap cekal dengan tugasnya dan sanggup bekerja sehingga larut malam.
“Gaji kau tak masuk lagi ke, Ira?”tanya Maslinda. Hari ini dia dengan sukarela membawa dan membelanja Humaira makan tengahari di luar. Muka Humaira agak cengkung dengan mata yang bengkak seolah-olah tidak tidur selama seminggu.
“Tak masuk lagi, entahlah Mas…rasa macam dah malas nak kerja, kerja banyak tapi gaji macam tak ada tanda-tanda nak masuk, percuma je kegigihan aku ni” jawab Humaira, perlahan. Semangat dan azam Humaira pada hari pertama bekerja semakin pudar. Keadaannya diumpamakan menunggu emas yang sememangnya tidak akan turun dari langit.
“Hurm, sabarlah… lama-lama nanti masuk rasanya. Tapi, syarikat kau tu ada apa-apa masalah tak? Macam ada sesuatu tak kena.. Kau tak bincang dengan Faisal ke? Maslinda menyambung pertanyaannya kepada Humaira yang nampak sugul.
Humaira sekadar mengukir senyuman sinis dengan pertanyaan Maslinda. Sudah sebulan Humaira tidak nampak kelibat Faisal. Dengar khabarnya, Faisal sudah meletakkan jawatan. Bukan sahaja Faisal, Dewi, Tracy juga turut berhenti. Humaira terasa sangat ralat dengan keadaan tersebut. Hendak meletakkan jawatan tetapi mengenangkan gajinya tertunggak 3 bulan, dia tidak mahu berhenti dengan sewenang-wenangnya. Sememangnya, setelah masuk bulan ke-2 bekerja di syarikat tersebut, Humaira dapat mengagak syarikat tersebut mengalami masalah. Keadaan pengurusan yang tidak teratur dengan stok-stok barangan yang dilonggokkan berhampiran dengan setiap sudut pejabat, sudah cukup membuatkan Humaira merasakan syarikat AEC tidak akan dapat bertahan lama. Manalah tidak gusar Humaira memikirkannya, manalah tidak semakin rusuh hatinya.
“Eh, kenapa semua berkumpul kat luar syarikat kau ni Ira?” suara Maslinda kedengaran resah dan terkejut dengan keadaan syarikat tempat sahabat karibnya itu dipenuhi dengan pembekal-pembekal yang membuat bising menuntut hutang.
Hati Humaira mula berdegup dengan kencang. Apa yang pernah difikirkannya sebelum ini, akhirnya menjadi nyata.
“Ira...” panggilan lembut ibunya mengejutkannya daripada lamunan yang tiada penghujung itu.
“Aah… ya Mama.. Mengapa mama? Humaira segera membalas panggilan ibunya itu.
“Jangan dikenang barang yang lepas, lagi-lagi barang yang tak elok,” pesan Ibu Ira, sambil menguntumkan senyuman. Hatinya diruntun rasa bimbang apabila melihat Humaira asyik termenung.
Semenjak berhenti kerja sebulan yang lalu, Humaira kelihatannya malas untuk melakukan apa-apa, termasuklah mencari pekerjaan. Setiap hari, setiap waktu, masanya diisi dengan lamunan yang tidak tahu bila akan sampai ke titik penghujungnya. Tawar rasa hatinya.
“Tak ada apa-apa mak, sekadar mengenang nasib je,” Humaira menjawab dengan tenang.
“Mengenang nasib?” tanya Ibu Ira pula
“…mengenang nasib Ira yang mengganggur lagi,” kata Humaira
p/s : ni aku amek masa 2jam, hahahaa.. tolong seseorang wat keje...cian dia manyak sangat keje..huhu...
No comments:
Post a Comment