Sekiranya dikatakan, ada sesetengah pasangan yang berkahwin bukan kerana keinginan dan nafsu kasih sayang, yang ada hanya nafsu keinginan seks semata, ya saya katakan ada, ini kerana berkahwin atas dasar keinginan seks adalah bagi menghalang diri daripada melakukan kemaksiatan yang merosakkan, selagi mana perkahwinan itu tidak melanggar etika dan peraturan perkahwinan yang telah ditetapkan oleh syariat. itu juga yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W. , sabdanya yang bermaksud;
Daripada A’lqamah ra berkata: ketika aku berjalan bersama Abdullah r.a, Abdullah berkata: satu ketika kami bersama Rasulullah S.A.W, lalu beliau bersabda: “sesiapa di antara kamu yang ada keinginan seks ( Jimak ) hendaklah dia berkahwin, kerana dengan berkahwin dapat memelihara pandangan dan juga kemaluan daripada terjebak dalam melakukan kemaksiatan. Bagi sesiapa yang tak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menghalang nafsu”. (muttafaq alaih)
Tidak semestinya berkahwin dengan sebab nafsu tidak mempunyai kasih sayang. Ketika proses memilih calon isteri dan bertunang kita digalakkan untuk memilih calon yang sekufu yakni yang sesuai dengan diri kita. Tempoh bertunang merupakan satu tempoh untuk melahirkan perasaan kasih dan sayang agar permulaan di alam rumah tangga bermula dengan baik.
Islam amat memandang berat kepada kesalahan zina kerana ia mengakibatkan keruntuhan sistem kekeluargaan, begitu juga perkara-perkara yang menjebakkan diri dalam kancah zina, seperti berpakaian menjolok mata, melihat aurat bukan muhrim, bersentuhan lelaki dan perempuan tanpa sebab, berdua-duaan lelaki dan perempuan dan sebagainya. Firman Allah taala;
Maksudnya : “dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)”. Al-Israa’ 32
Kesimpulannya berkahwin kerana nafsu bagi mengelakkan diri dari terjebak dalam kancah perzinaan bukanlah satu kesalahan bahkan satu kewajipan. Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai hujah bagi menyatakan perkahwinan disebabkan nafsu tidak membawa kebahagian dan memporak-perandakan rumah tangga.
Penulis merupakan Pengurus Pengislaman di Jabatan Yang Dipertua, YADIM
oleh ANUAR AHMAD di November 5, 2010.
No comments:
Post a Comment